Latar belakang Kemalangan feri Triso

Pada jam 03:17 petang, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan nombor pendaftaran QSM 6861 telah menaiki feri PRIMROSE XXVIII yang kebetulan sudah pun meninggalkan pengkalan. Kenderaan tersebut diparkir di tanjakan feri lebih 60 meter. Ketika kejadian, pemandu, Ronany @ Lorna Ting, didakwa terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh kapten feri supaya berundur dari tanjakan kerana ia sedang dinaiki. Akibat pengumuman tersebut, pemandu terbabit tertekan brek minyak lalu terjunam ke dalam sungai Batang Lupar bersama-sama 8 ahli keluarganya.

Semua penumpang feri yang menaikinya segera keluar dari kenderaan mereka dan menyaksikan pacuan tersebut tenggelam dengan bahagian belakang terapung dan terdapat 9 mangsa di dalamnya. Kesemua mereka menolong mengapungkannya dengan bantuan tekong feri dan sebuah jentolak dengan tali sauh dan rantai besi. Usaha mengangkat selama tiga jam membuahkan hasil apabila sebahagian daripada badan pacuan mula timbul. Sekumpulan lelaki kemudiannya terjun ke sungai untuk ke pacuan tersebut dan mengeluarkan mangsa di dalamnya dan membawa mereka ke pengkalan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut[1].

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas oleh sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan paramedik dari Hospital Sri Aman dan Hospital Betong yang tiba di lokasi kejadian. Mereka dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan sebuah lori untuk bedah siasat. Identiti mangsa telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa berdasarkan dokumen yang diperolehi dan pengecaman oleh waris mangsa. Mereka ialah:

  • Ronany @ Lorna Ting (33; pemandu)
  • Siti Aisha Abdullah (36)
  • Nor Shuhada Mohamad (16)
  • Khairunnisa Mohamad (14)
  • Alvin Phang (12)
  • Wallace Phang (7)
  • Mohd Aiman Mohd Hamzah (7)
  • Muhd Mustaqim Mohd Hamzah (5)
  • Mohd Ahmad Mohd Hamzah (4 bulan)

Daripada keseluruhan mangsa yang dikenal pasti, 6 daripada mereka adalah mualaf Islam Cina. Salah seorang daripadanya berkahwin dengan seorang bekas pekerja bank yang juga mualaf Islam Iban.

Kesemua mangsa dituntut ahli keluarga mereka dan dikebumikan di 2 tempat berasingan. Mayat Siti Aisha dan 5 anaknya dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman selepas waktu Asar[2]. Manakala mayat Ronany bersama 2 anaknya ditempatkan di Sibu Mortuary Board di Sibu milik Persatuan Chiang Chuan Sibu sebelum dibakar di Taman Peringatan Nirvana, Sibu mengikut adat tradisi agama Buddha. Suami Ronany, Phang Wei Beng, 39, menerima kebenaran untuk menggunakan banguanan itu secara percuma kerana dia merupakan ahli persatuan tersebut.[3]